Salam semua....

Di ketika ini lagu Bidadari dendangan Anuar Zain, penyanyi kegemaran saya sedang berkumandangan di corong radio. Indah betul bait-bait yang terkandung dalam lagu tersebut disertai pula lontaran vokal penyanyi yang sering mencuit hati pendengar wanitanya….

Mendengar bait-bait lagu tu, hati saya tersentuh. Masih ada lagikah wanita yang begitu sempurna pada zaman ini ? Mmph….. susah untuk diperkatakan walaupun saya ini adalah seorang wanita.

Bercakap mengenai wanita yang sempurna, saya terpanggil untuk berkongsi dengan anda beberapa informasi yang saya perolehi hasil dari pembacaan dan sedang saya praktikkan.

Bukan mudah untuk menjadi wanita yang sempurna kerana kesempurnaan itu hanya akan terbina sekiranya wanita itu mempunyai kekuatan untuk merubah dirinya (dari negatif ke positif) dan membenarkan dirinya menerima segala bentuk teguran yang membina. Hari ini, saya ingin menyentuh bab Karisma.

Tahukah anda bahawa Karisma adalah salah satu unsur keterampilan diri yang harus ada untuk menjadi seorang yang berjaya.

Saya percaya anda tentu pernah terpegun melihat seseorang yang bercakap di khalayak ramai atau terpengaruh dengannya kerana percaya yang dia mempunyai sesuatu yang meyakinkan. Itulah yang dipanggil Karisma.

Karisma sering dianggap sebagai suatu kuasa peribadi yang amat berharga. Seseorang yang berkarisma dapat mempengaruhi orang lain agar mengubah tingkah laku mereka samada ke arah positif atau sebaliknya. Kadang-kala hanya dengan penampilan sahaja dia berjaya mengubah orang lain agar terpengaruh dengannya. Itu belum lagi bila mendengar kata-kata yang dihamburkan.

Wah…. Hebat betul kuasa Karima ini bukan!

Karisma bukanlah terjadi sejak kita lahir tetapi ianya adalah imej yang haruslah dibentuk dan diperbaiki dari masa ke semasa.

Karisma adalah satu unsur yang membuatkan kita percaya bahawa seseorang individu itu adalah orang yang berkelayakan, berilmu, pakar dan telus dalam penyampaiannya. Dalam kata lain ianya adalah salah satu ciri-ciri kepimpinan yang membolehkan kita menarik dan membina pengaruh di kalangan orang lain.

Unsur-unsur utama dalam pembinaan Karisma adalah :

Ilmu atau kepakaran ~ Seandainya anda diundang untuk memperkatakan sesuatu, pastikan anda benar-benar mahir dengan topik yang disentuh. Buatlah “homework” terlebih dahulu agar apa yang disampaikan tidak keluar dari topik.

Keikhlasan ~ Tunjukkan keikhlasan dalam apa jua perbuatan dan penyampaian agar orang yang berurusan dengan kita dapat merasakan ketulusan yang dipamerkan.

Imej diri ~ Pembentukan imej adalah amat penting kerana ianya mencerminkan keperibadian diri kita dan ini dapat membina keyakinan mereka yang melihat penampilan kita.
Oleh itu tepuk dada, tanyalah hati... adakah anda ingin berubah menjadi wanita yang sempurna? Jika jawapannya ya, maka mulakanlah dengan mendengar kritikan-kritikan yang membina dan sering-seringlah musabah diri dengan mengajukan soalan-soalan yang bakal melengkapkan anda untuk menjadi wanita yang sempurna dan muslimah yang berketerampilan.
Bersambung lagi di post yang akan datang dengan topik-topik motivasi yang lebih menarik.....






0 Comments:

Post a Comment